Renungan

Renungan

29 May 2014

Dipaksa Menikahi Perempuan Cantik

a s - s a l a m

Artikel kali ini bukanlah original dari saya. Maaf, saya copy &  paste dari hasil tulisan yang khabarnya dari Baharudin Bekri, seorang penulis kegemaran saya. pada mulanya saya membaca artikel ini di Facebook. Pada mulanya saya tidak tahu kisah ini tulisan Baharudin Bekri, tapi dari gaya penulisan yang agak kelakar, memang sah di penghujungnya Baharudin Bekri penulisnya,

kisah ini sangat 'sweet' untuk diteliti. Di dalamnya ada kemanisan unsur dakwah yang menyentap dalam diri saya. Mohon share apa yang anda dapat dalam ruangan komen nanti ya!



....................................................xoxoxoxoxoxxoxo............................................................

Seminggu lagi, aku akan menikah, tetapi hari ini aku masih di sini, kota besar, sendiri mengenangkan nasib. Tidak ada wang, tidak ada kereta, tidak ada kerja, tidak ada apa-apa selain, telefon murah, dan oh... telefon aku juga tidak punya kredit.

Sewa rumah pun belum aku bayar, tetapi aku akan menikah lagi seminggu. Majlisnya sederhana, bernikah dengan gadis kampung sebelah, di rumah ibu gadis itu, dan aku tidak kenal lagi siapa gadis itu. Orang tua aku yang mengaturkannya, dan aku masih terfikir-fikir, mengapa orang tua gadis itu, sanggup mengahwinkan anaknya dengan seorang lelaki seperti aku.

Aku lelaki yang apabila ditanya apa kerjanya, aku tidak tahu bagaimana harus menjawab. Aku memang bekerja tetapi, kerja sambilan di hotel, tolong kawan-kawan yang meniaga online di internet, ada sesekali mengikuti seminar MLM, dan banyak waktu duduk di rumah sewa, menatap akhbar mencari kerja.

Lalu, atas sebab apa ibu bapa gadis itu, sanggup menikahkan anaknya kepada aku, dan hantaran kahwinnya, cuma senaskah Al Quran, dan mas kahwin cuma RM80.00. Lebih menghairkan, semua kenduri ditanggung oleh keluarga si gadis.

Mengapa? Bertambah aku tidak mengerti, apabila, orang tua gadis itu, mengahwinkan aku dengan anak perempuannya yang cantik, yang bertudung litup. Ya, aku ada melihat gambarnya, dan atas sebab kecantikan itulah, aku walaupun dengan semua kehairanan itu, aku setuju juga dengan perkahwinan yang diatur keluarga ini. Ditambah cerita, perempuan itu lulusan universiti luar negara, berkerja sebagai pegawai kerajaan yang gajinya, cukup bagi membayar ansuran kereta BMW.

Pada mulanya, aku fikir aku ibarat tikus yang jatuh ke dalam guni beras, tetapi ketika majlis semakin hampir, aku mula terfikir, ada perkara yang disembunyikan. Adakah gambar yang diberi sama dengan wajah aslli perempuan itu? Adakah perempuan itu sebenarnya ibu tunggal? Atau yang paling menakutkan aku, perempuan itu sedang mengandungkan anak orang lain, dan aku menjadi 'pak sanggup'. Lalu, daripada sinilah kisah aku ini bermula.

***

Tengah hari itu aku nekad pulang ke kampung. Aku nekad, menyiasar latar belakang bakal isteri, dan mengapa ibu bapanya, sanggup melepaskan anaknya kepada lelaki seperti aku. Cuma tidak pasti, apakah cara untuk menyiasat, dan semasa di dalam bas aku kira beruntung, duduk di sebelah seorang lelaki yang peramah.

Kepada lelaki itu aku bertanya, “Bagaimana mahu tahu latar belakang bakal isteri kita?”

“Senang sangat. Kalau dia ada FB, buka FB dia, atau taip sahaja nama penuhnya di internet. Nanti adalah maklumat tentang dia. Kalau susah sangat, pergi tempat kerja dia, tanya kawan-kawan dia, atau tanya jiran-jiran dia.”

Untuk menyiasat tentang tunang aku itu di internet, nama penuhnya pun aku tidak tahu. Aku cuma diberitahu, namanya, Sarimah. Berapa ramai orang nama Sarimah di internet? Lalu aku ambil nasihat kedua lelaki itu, tanya rakan-rakan sekerjanya, dan mujur aku tahu gadis itu bekerja di pejabat KEMAS di pekan.

Sampai sahaja di kampung, aku pinjam motosikal ayah, terus ke pejabat KEMAS. Aku tidak tahu apa jawatannya, tetapi pejabat sebesar itu, berapa ramai sangatlah orang namanya sama. Tetapi agak tidak logik pula aku terus masuk ke pejabat dan bertanya berkenaan bakal isteri. Lalu akhirnya aku ambil keputusan menunggu dan memerhati di seberang jalan.

Aku fikir, mungkin pada waktu makan tengah hari, Sarimah dan wakan-kawannya akan keluar dan, apabila sudah cam wajah kawan-kawannya, semasa balik nanti boleh tanya tentang Sarimah. Itulah rancangan aku, rancangan yang diatur kemas. Lalu aku pun duduklah di atas motosikal menghadap pejabat kemas yang cuma setingkat.

Kemudiannya datang pula rasa menyesal, sebab pada jam 11 pagi, cuaca sudah terik. Di situ pula belum ada pokok yang rendang, kerana semuanya baru sahaja dicantas dahannya. Sudah panas terik, pengawal keselamatan di luar pejabat pula asyik meninjau-ninjau. Bukan pengawal keselamatan, malah orang yang lalu lalang di situ turut memerhati.

Aku lupa, ini pekan kecil, jadi segala perbuatan yang bukan kebiasaan akan menjadi perhatian. Perbuatan aku, yang duduk di hadapan pejabat kemas adalah bukan perkara biasa. Nampak terlalu aneh.

Akhirnya, aku semakin berasa menyesal kerana dari jauh aku lihat seorang perempuan keluar dari pejabat. Semakin dekat perempuan itu, semakin aku berasa berdebar. Wajahnya semakin jelas, dengan tudung kuning cair dan baju kurung biru muda. Dia adalah bakal isteri aku, yang aku cuma kenal namanya sebagai Saramih. Hanya itu.

Aku fikir, mahu sahaja menghidupkan motosikal dan kemudiannya terus pergi dari situ tetapi semuanya sudah terlambat apabila Sarimah berkata, “Awak Salman?”

Aku memberikan senyuman yang paling terpaksa pernah saya buat. Lebih terpaksa daripada senyum terpaksa apabila bertemu dengan cikgu semasa sekolah dahulu.

“Ya, saya. Awak boleh cam?”

“Kawan di pejabat yang beritahu, ada lelaki di sebearang jalan. Mereka mengusik saya, mungkin saya kenal, dan saya mula perasan wajah awak sama dengan gambar yang emak saya beri.”

Satu pejabat perasan aku menunggu di hadapan pejabat? Teruk betul cara aku mahu menyiasat. Kemudian pantas aku memerhatikan wajah Sarimah, dan ternyata wajah aslinya jauh lebih cantik daripada wajah pada gambar. Mungkin sebab itu gambar pasport. Orang tua dia pun satu, ambillah gambar lain. Ini tidak gambar pasport anak dia pula. Enhtah-entah, emak ayah aku pun berikan gambar pasport aku. Ketika itu juga aku rasa berdebar. Sebab, seingat aku semasa aku bergambar pasport, aku baru sahaja bangun tidur.

Aku perhatikan pula perutnya, tetapi tidak nampak ada apa-apa tanda perempuan mengandung. Pada ketika aku memerhati itu, aku perasan dia terus silangkan tangannya di perutnya dan terus aku berasa malu. Mesti dia perasan aku pandang perutnya, dan entah apalah dalam fikirannya sekarang.

Kemudiannya, aku perasaan lagi yang Sarimah ini perempuan yang berani. Berani untuk keluar berjumpa dengan aku. Kalau perempuan lain, tentu mereka tidak berani. Barulah aku sedar, inilah pertemuan pertama aku dengan bakal isteri aku. Pertemuan dalam keadaan yang agak aneh.

Selepas pertanyaan itu, kami tiba-tiba diam. Kami hanya berdiri di tepi jalan raya, sambil memandang ke arah yang sebenarnya agak aneh untuk dipandang. Aku memandang ke arah pokok dan Sarimah memandang ke arah motosikal ayah aku.

Aku tahu, ini keadaan yang tidak betul dan aku sebagai lelaki perlu menunjukkan contoh yang baik kepada bakal isteri aku. Jadi, selepas puas berfikir dan memberanikan diri, aku berkata, “Sudah makan?”

“Saya diet.”

Nasib baik dia kata dia diet. Bagaimana kalau dia kata, marilah kita makan, memang aku akan jahanam sebab di dalam dompet aku cuma ada lima ringgit. Mana cukup. Selepas itu, keadaan kembali sepi.

“Saya mahu masuk pejabat balik,” kata Sarimah sopan dan membuatkan aku lega.

“Saya pun mahu balik,” balas aku, dan rupa-rupanya lega aku tidak lama.

“Malam ini jemputlah datang rumah.”

“Datang rumah awak?”

“Ya, makan malam dengan keluarga saya.”

Aku diam. Berdebar-debar.

“Jemputlah sekali ayah dan emak awak kalau mereka tidak ada halangan.”

“Baiklah, selepas maghrib saya saya sampai.”

***

Sepanjang perjalanan balik aku berasa tidak puas hati dengan diri aku. Mengapa aku tiba-tiba menjadi kaku. Sepatutnya, pada waktu itulah aku banyak tanya bagi menyiasat mengapa dia dan keluarga dia memilih aku.

Cuma malam ini aku berasa sedikit gerun. Alamat rumah Sarimah, aku boleh tanya ayah aku, tetapi adakah aku patut bawa ayah dan emak aku sekali? Tidak.. tidak.... Bukannya aku tidak tahu, biasanya kalau emak ada sekali, habis semua rahsia anak dia ceritakan. Seronok betul cerita rahsia anaknya.

Lagipula aku ada banyak rahsia yang tidak patut Sarimah dan emak ayahnya tahu. Rahsia yang aku paling takut emak akan beritahu adalah, hampir setiap bulan aku masih lagi meminta duit daripada emak aku. Memang memalukan tetapi untuk pergi seorang diri pula, memang aku tidak yakin.

Akhirnya, aku ada idea paling bernas. Aku terus melencong ke rumah kawan lama aku, Rudy. Bukan setakat kawan lama, tetapi juga kawan karib. Aku yakin dia ada di rumah, kerana dia juga senasib dengan aku, belum ada kerja tetap. Bezanya, dia bertarung hidup di kampung, dan aku bertarung hidup di kota.

Sampai sahaja di rumah Rudy, aku lihat Rudy sedang duduk di tangga sambil bermain gitar. Itulah kemahiran Rudy yang aku sangat cemburu. Aku tidak pandai bermain gitar dan akibatnya.... oh... ada lagi rupanya kemahiran Rudy yang aku tidak ada. Rudy pandai mengorat gadis dengan bermain gitar, dan Rudy sangat berani berhadapan dengan perempuan, tidak seperti aku. Itulah akibatnya, aku tidak ada keyakinan apabila berhadapan dengan perempuan.

“Lama tak nampak,” kata Rudy sebaik aku duduk di sebelahnya.

“Taklah lama mana. Baru dua bulan lebih.”

“Lamalah tu.”

Aku diam, dan cuba mendengarkan petikan gitar lagu rock kapak, 'Suci Dalam Debu'. Aku cuba menyusun ayat, bagi mengajak dia menemani aku malam ini, tetapi belum ada ayat yang bagus.

“Aku dengar seminggu lagi kau nak kahwin. Kau tak jemput pun aku,” kata Rudy, dan itu secara tidak langsung memberikan aku jalan bagi melaksanakan rancangan aku.

“Ini majlis sebelah pihak perempuan, jadi mereka jempur sebelah perempuan sahaja.”

“Sebelah lelaki bila?”

Aku diam, kerana aku tidak tahu bila. Sebab dengan kewangan aku sekarang, hidang mi goreng kepada tetamu pun aku tidak mampu.

“Tengoklah. Kalau ada kad aku sampai ke rumah kau, kau pergilah.”

Rudy semakin merancakkan petikan gitarnya. Kini lagu Adele pula, 'Someone like you'. Entah mengapa, lagu yang temanya kecewa sahaja dia mainkan petang ini.

“Dia cantik tak?” Rudy memandang dengan senyuman penuh berharap.

“Cantik.”

“Macam mana kau jumpa dia?” Senyuman Rudy kini semakin tinggi harapannya. Harapan jenis apa aku tidak tahu. Mungkin harapan untuk melihat aku bahagia. Walaupun aku berasa seperti tidak logik pula harapan itu wujud daripada Rudy.

“Ayah dan emak aku jodohkan. Aku terima sahaja.”

“Kau tidak pernah jumpa dia?”

“Baru tadi.”

“Memang dia cantik?”

“Memang cantik.”

Rudy kini memperlihatkan pula wajah orang yang sedang gusar dan berfikir panjang.

“Apa kerja dia?”

“Pengawai di KEMAS. Aku tidak tahu jawatannya. Tetapi emak aku kata, pegawai tinggi juga.”

“Hmm... dia cantik, kerja bagus tetapi dia mahu kahwin dengan kau. Hairan.”

Aku menelan liur. Nampaknya Rudy juga sudah perasan sesuatu yang tidak kena. Dia pandang wajah aku.

Rudy menyambung, “Kau pun, bukannya kacak pun. Hairan-hairan.”

Aku tersenyum pahit. Aku akui, aku memang tidak kacak dan itu pun sebenarnya merisaukan aku juga.

“Kau tidak hairan?” soal Rudy.

“Memang aku hairan.”

“Kau sudah periksa latar belakang perempuan itu?”

Aku pandang wajah Rudy. Akhirnya peluang aku tiba.

“Malam ini kau ikut aku. Temankah aku ke rumah tunang aku.”

“Buat apa?” Rudy memandang hairan.

“Dia ajak aku makan malam di sana. Jumpa dengan ayah dan emaknya. Waktu itu aku fikir baru hendak siasat latar belakangnya.”

“Jadi kau pergilah sendiri.” Rudy kembali menyambung memetik gitar.

“Kau bukan tidak tahu aku. Aku segan. Aku perlukan kau temankan aku. Lagipun kau berani, mungkin kau boleh tolong siasat-siasat juga.”

“Siasat-siasat? Macam mana?”

“Tanyalah apa-apa soalan yang patut. Engkaukah berpengalaman dalam dunia percintaan. Mestilah tahu.”

Akhirnya selepas lama aku pujuk, Rudy pun setuju.

***

Malam itu, walaupun aku sudah salin alamat daripada ayah aku, tetap jugalah aku sesat. Aku sampai, selepas isyak, bukannya selepas maghrib. Aku lihat makanan sudah sedia terhidang di atas meja, dan nampak sudah sejuk. Mungkin perut Sarimah dan orang tuanya juga sudah lapar.

“Maafkan saya sebab lambat.”

“Tidak mengapa, masuklah,” kata seorang lelaki yang sebaya ayah aku. Mungkin dia adalah ayah Sarimah dan bakal ayah mertua aku.

“Ooo... inilah Salman. Ayah kamu kata kamu akan balik lusa, cepat pula kamu balik,” tegur seorang perempuan pula, yang aku yakin adalah emak Sarimah.

“Ada hal sedikit,” balas aku dan kemudian berkata, “Kenalkan ini kawan saya Rudy. Emak dan ayah saya tidak dapat datang.”

Kemudiannya, Sarimah keluar dari dapur dengan dan dia kelihatan sangat cantik. Terpegun aku dan aku sempat melihat wajah Rudy yang ikut terpegun.

“Untunglah kau,” bisik Rudy.

Selepas makan, kami duduk pula di ruang tamu dan pada waktu itulah, aku jeling-jeling Rudy supaya mula menjalankan kerjanya.

“Salman beritahu, yang ini kali pertama dia berjumpa dengan pak cik dan mak cik. Malah dengan Sarimah pun baru semalam berjumpa,” kata Salman memulakan bicara dan aku mula berdebar-debar.

“Ya, kali pertama berjumpa. Sebelumnya, kami lihat wajahnya dalam gambar pasport yang emak dia beri,” jawab ayah Sarimah.

Aku semakin berdebar-debar. Emak aku beri gambar pasport? Ah, sudah! Matilah aku.

“Tidak sangka, orang betulnya, kacak juga,” sambung emak Sarimah pula.

Aku mula berasa pipi aku panas. Jarang betul orang puji aku kacak. Kalau puji kacak pun, ada makna di sebaliknya. Entah-entah emak Sarimah pun cuma mahu menjaga hati.

“Itulah saya hairan. Sebab Salman beritahu, orang tua dia yang aturkan. Tidak sangka, zaman sekarang masih ada lagi perkahwinan yang diatur oleh orang tua. Apa rahsianya pak cik?” Rudy memang tidak menunggu lama. Terus sahaja dia bertanya sambil ketawa-ketawa kecil. Jadi, walaupun soalan itu serius, tetapi ia nampak seperti bergurau.

“Tidak ada rahsia apapun. Salman tidak beritahu kamu?”

Rudy pandang aku, kemudian dia padang ayah Sarimah dan menggeleng.

Terus aku kata, “Sebenarnya saya pun tidak tahu apa-apa.”

“Kamu tidak tanya ayah dan emak kamu?”

Pada waktu itulah, aku mula berasa menyesal. Ya, aku tidak tanya pun ayah dan emak aku mengapa dia pilih Sarimah. Yang aku tahu, emak aku cuma tanya, “Mahu emak carikan kamu jodoh?” Aku pun terus kata, “Boleh.” Tahu-tahu, dua minggu selepas itu, aku sudah bertunang dan dalam masa sebulan akan berkahwin. Itupun tunang guna duit emak aku. Memalukan betul.

“Saya tidak tanya.”

Ayah Sarimah mula ketawa kecil.

“Begini, saya dan ayah kamu itu memang sudah lama kenal. Suatu hari, borak-borak di kedai kopi, kami bercerita tentang anak masing-masing, kemudiannya terus bercerita berkenaan jodoh, dan akhirnya, terus kepada rancangan mahu menjodohkan anak masing-masing. Selepas itu, inilah yang terjadi,” jelas ayah Sarimah.

“Begitu sahaja pak cik? Mudahnya!” Rudy nampak terkejut, dan aku pun sebenarnya agak terkejut juga. Ya, mudahnya.

Emak dan ayah Sarimah hanya tersenyum lebar.

Ayahnya berkata, “Tidaklah semudah itu. Kami pun mahu yang terbaik untuk anak bongsu kami. Kami pun ada siasat latar belakang Salman.”

“Jadi pak cik tahu yang Salman ini menganggur dan tidak ada duit?” soal Rudy dan membuatkan aku geram tetapi dalam masa yang sama berasa sangat malu. Tiba-tiba aku berdoa supaya tubuh aku menjadi kecil, supaya senang aku menyorok bukan sahaja muka, tetapi seluruh tubuh aku di balik bantal.

“Tahu,” jawab ayah Sarimah sambil ketawa kecil lagi.

“Jadi?” Rudy menyoal sambil memusingkan tangan kanannya. Aku dapat agak Rudy sebenarnya mahu kata, “Jadi, mengapa masih pilih Salman?” Mungkin kerana tidak sampai hati, dia cuma buat isyarat tangan sahaja. Ya, aku tahu betul sebab sudah lama aku kenal Rudy.

“Itulah yang diberitahu oleh ayahnya. Katanya, anak dia tidak kacak, tidak ada kerja tetap, dan malah, bulan-bulan masih minta duit daripada emaknya. Tetapi, daripada situlah pak cik tahu, Salman ini akan menjadi suami yang baik.” Ayah Sarimah tidak lagi tersenyum, sebaliknya memandnag aku dengan wajah serius. Aku pula terus tunduk malu. Malunya aku. Rupa-rupanya mereka sudah tahu yang aku ini minta duit bulan-bulan daripada emak aku.

“Jadi?” Rudy sekali lagi menggerak-gerakkan tangannya.

“Ayahnya juga memberitahu, anak dia akan menelefon kampung, paling kurang dua kali seminggu. Dan, walaupun dia tidak ada pekerjaan tetap, kerjanya pun tidak menentu dengan gaji yang kecil tetapi setiap kali mendapat gaji, ayahnya memberitahu, dia tidak pernah lupa memberikan sedikit kepada emaknya. Walaupun cuma RM50. Jadi, bayangkan walaupun hampir tiap-tiap bulan dia tidak cukup duit, tetapi dia masih ada perasaan bagi membantu orang tua. Itulah namanya tanggungjawab!”

Aku tergamam. Aku sebenarnya tidak menyangka ayah aku menceritakan perkara itu juga kepada ayah Sarimah.

“Ooo... tanggungjawab,” Hanya itu kata Rudy sambil mengangguk-angguk

Ayah Sarimah menyambung, “Tanggungjawab itu, bukan bermakna apabila kita kaya sahaja kita perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab itu adalah sesuatu yang kita pegang semasa kita susah dan semasa kita senang. Lalu, dalam rumahtangga, bukan selamanya senang. Lebih banyak masa susahnya. Jadi, pak cik akan berasa lega, kerana tahu anak pak cik berada dalam tangan lelaki yang bertanggungjawab.”

“Betul juga pak cik. Lagipun Salman ini, setahu saya dia tidak pernah tinggal sembahyang dan tidak ada girlfriend sebab takut perempuan,” tambah Rudy yang membuatkan aku tersipu-sipu. Tidak sangka Rudy memuji aku.

“Sembahyang itulah perkara utama yang pak cik tanya daripada ayah dia, dan girlfriend pun pak cik ada tanya.” Ayah Sarimah kembali ketawa kecil.

“Susah mahu cari orang seperti pak cik pada zaman ini. Zaman sekarang, semua mahu menantu kaya,” tambah Rudy lalu aku nampak wajahnya tiba-tiba murung. Mungkin dia sedang bercerita tentang dirinya secara tidak sedar.

“Semasa pak cik mengahwini ibu Sarimah, hidup pak cik pun susah. Pak cik juga orang susah, cuma bekerja sebagai kerani, sedangkan ibu Sarimah itu anak orang kaya kampung. Alhamdulillah, keluarga isteri pak cik jenis yang terbuka. Lalu, mengapa pak cik tidak memberi peluang kepada orang yang susah, sedangkan pak cik dahulu pun diberi peluang. Yang utama, sebab dia susah bukan kerana dia malas, tetapi belum sampai rezeki. Besar bezanya, orang malas dengan orang yang belum ada rezeki. Kalau susah sebab duduk rumah dan tidur berguling-guling, memang pak cik tidak terima juga,” jelas ayah Sarimah dengan panjang lebar.

Aku berasa mula sedikit lega. Tidak sangka betul aku, begitu fikiran ayah dan emak Sarimah. Perlahan-lahan, perasaan malu aku itu mula berkurang. Perlahan-lahan juga, curiga aku kepada Sarimah ikut berkurang.

“Anak pak cik pun hebat juga. Dia ikut kata pak cik. Zaman sekarang, biasanya semuanya sudah ada boyfriend dan girlfriend,” kata Rudy. Aku tahu, Rudy juga sedang memasang umpan bagi mengetahui latar belakang Sarimah pula. Aku kembali berdebar-debar.

“Alhamdulillah. Pak cik sangat bersyukur diberi anak sebegitu. Mulanya, pak cik khuatir juga, tetapi selepas seminggu, Sarimah kata setuju. Cuma pak cik tidak tahu sebab apa dia setuju, mungkin Salman boleh tanya dia sendiri selepas nikah nanti,” kata ayah Sarimah, lalu dia, isterinya dan Rudy ketawa bersama. Tinggal aku dan Sarimah sahaja yang duduk terdiam-diam malu. Sempat aku menjeling Sarimah, dan bertanya dalam hati, “Mengapa kamu setuju dengan lelaki seperti aku?'

***

Alhamdulillah. Allah permudahkan kerja kami. Aku sudah sah menjadi suami kepada Sarimah, dan selepas bersalaman dengan Sarimah, gentar dan malu aku kepada Sarimah mula berkurang. Malah aku mula memanggil dia, 'sayang'. Lalu selepas kenduri, kini aku dan Sarimah sudah berada di dalam bilik, berdua-duan untuk pertama kalinya.

Aku masih ingat pertanyaan aku dalam hati, pada malam aku bertemu ayah dan emak Sarimah. Kini pertanyaan dalam hati itu aku luahkannya dengan lidah, “Sayang, mengapa sayang setuju untuk bernikah dengan lelaki seperti abang? Lelaki yang belum tentu masa depannya, dan mungkin juga membuat sayang derita.”

Tidak sangka, pertanyaan melalui lidah aku menjadi lebih panjang dan detail pula berbanding pertanyaan dalam hati.

Sarimah yang waktu itu sedang duduk malu-malu, memandang aku lalu menyalami tangan aku, dan berkata, “Ampuni Sarimah bang, ampuni Sarimah.”

Aku mula berdebar-debar dan tidak sedap hati.

“Ampuni apa sayang?”

“Sebab, Sarimah sebenarnya sempat curiga juga dengan abang. Sarimah sempat tidak yakin dengan abang. Malah Sarimah minta tolong kawan Sarimah, yang kebetulan tinggal berhampiran abang di kota supaya menyiasat latar belakang abang. Malah, Sarimah juga solat iskhtikarah hanya kerana ragu-ragu kepada abang.”

Debar aku kembali menurun. Rupa-rupanya, Sarimah lebih dahulu menyiasat latar belakang aku? Malunya aku. Tetapi sekarang dia sudah jadi isteri aku, lalu aku angkat kepalanya dan pandang ke arah matanya.

“Abang ampunkan. Abang pun minta maaf, sebab abang pun pernah juga berasa curiga kepada sayang.”

Sarimah tersenyum. Bukan senyum manis biasa, tetapi senyuman seorang perempuan yang bahagia, dan senyuman itu sangat ajaib kerana ikut membuatakan aku berasa bahagia. Mungkin inilah perasaan, bahagia yang datang daripada kelakuan kita yang membahagiakan orang lain. Tetapi persoalan aku tadi masih belum terjawab sepenuhnya.

“Jadi, apa kata kawan sayang?” lanjut aku mahu tahu. Risau juga kawan dia cakap yang bukan-bukan.

“Katanya, abang ini kerja tidak tetap. Motosikal pun pinjam motosikal kawan, tetapi katanya dia sentiasa melihat abang membaca ruangan akhbar mencari kerja, menghantar surat, dan sentiasa memeriksa peti surat. Maksudnya, abang ini seorang yang rajin berusaha. Katanya lagi, dia tidak pernah nampak abang keluar dengan mana-mana perempuan. Solat pun abang buat berjemaah di surau.”

Aku mula tersipu-sipu. Jadi bagi mengelak lebih tersipu-sipu, aku bertanya, “Tetapi orang secantik sayang takkan tidak ada orang mahu. Pasti ramai yang mahukan sayang, dan mungkin pasti juga yang ada sudah menghantar rombongan meminang.”

Sarimah sekali lagi tersenyum.

“Ya, memang ramai lelaki yang cuba dekat dengan Sarimah, tetapi Sarimah sangat takut. Sebab, teringat kepada kakak Sarimah?”

“Mengapa dengan kakak, sayang?” soal aku segera.

Sarimah pun bercerita panjang lebar, dan tahulah aku yang kakak dia sudah meninggal. Kakak Sarimah dahulu juga seorang perempuan cantik, dan ramai lelaki yang mahukan dia. Akhirnya, dia kahwin dengan lelaki pilihan hatinya sendiri. Lelaki yang kacak, berpelajaran tinggi, dan bekerja yang gajinya lumayan. Sayangnya, selepas setahun berkahwin, suami kakaknya mula berubah kerana belum mendapat anak. Mula balik lewat dan sering marah-marah.

Malah, apabila suami kakaknya dibuang kerja kerana krisis ekonomi, hidup mereka menjadi susah dan, suami kakaknya juga semakin besar perubahannya. Dia sudah tidak balik berhari-hari, apabila balik pula, hanya bagi meminta wang, marah-marah dan memberi sepak terajang. Kemudian pecahlah rahsia, rupa-rupanya suami kakaknya itu sudah ada perempuan lain. Lalu pada hari itu, dengan hati yang kusut, kakak Sarimah gagal mengawal keretanya lalu kemalangan dan meninggal dunia. Akhir ceritanya itu, terus aku genggam tangan Sarimah erat-erat.

“Sebab itulah, Sarimah takut bagi menerima mana-mana lelaki dalam hidup Sarimah. Malah, Sarimah juga sebenarnya sudah mengamanahkan ayah dan ibu mencari lelaki yang sesuai untuk Sarimah. Biar tidak kaya, biar tidak kacak, tetapi lelaki itu mampu membahagiakan hidup dengan kasih-sayang dan mendamaikan hati dengan agama.”

Akhirnya, semuanya sudah jelas. Mengapa ayah dan ibu Sarimah memilih lelaki seperti aku, dan mengapa Sarimah menerima aku dalam hidupnya. Genggaman tangan aku semakin kuat.

“Abang... jaga Sarimah. Jaga dan mohon jangan lukakan hati Sarimah. Mohon bang,” rayu Sarimah dan aku anmpak matanya mula ada air mata yang berkolam, dan kemudiannya air itu tumpah. Segera aku menyeka air mata Sarimah.

“Abang, bukan lelaki terbaik, dan abang tidak mampu berjanji menjadi suami yang terbaik untuk sayang. Abang cuma mampu berjanji, abang berusaha menjadi lelaki yang terbaik itu, dan berusaha menjadi suami yang terbaik untuk sayang,” kata aku perlahan, dan Sarimah terus memeluk aku, dan aku perasan, bahu aku sudah basah dengan air mata Sarimah.


Penulis asal: Baharudin Bekri

- razman -

22 May 2014

Perjalanan yang Tempang

a s - s a l a m



Hidup ini merupakan satu perjalanan menuju akhirat. 

Itulah ungkapan yang tepat mengenai matlamat kehidupan seorang manusia. Ramai dalam kalangan kita sedar, ada yang tidak tahu dan ramai juga yang dia tahu, tapi dia lalai.

Kehidupan akhirat bukanlah satu khayalan, tapi kehidupan nyata ini selalu dikhaburi khayalan. bagaikan sudah tidur, pasti tidak lengkap tanpa mimpi.

Tanya pada diri, manusia jenis apakah kita ini?

Adakah kita seorang yang beriman? dan apakah maknanya iman kita?
Apakah langkah kita songsang? Apakah perjalanan kita tempang?

Apakah maksud saya mengenai tempang ini?

Di sini saya sertakan buah fikiran saya mengenai tajuk ini:

Perjalanan tempang ini boleh diumpamakan dengan usaha kita mengurus kehidupan kita. Cuba kita audit setiap perbuatan kita. Adakah setiap usaha kita disertakan dengan doa? Adakah kita meletakkan pengharapan kepada Illahi? dan apakah tujuan sebenarnya kita melakukan sesuatu?

Jika setiap yang berdoa itu tahu apa yang dimaksudkan dengan doa itu, maka dia telah melepasi frasa memahami hala tuju perbuatannya itu.

Contoh:

Cuba anda membaca buku tanpa doa
Apakah anda faham mengenai bacaan yang sedang anda lakukan?

Seorang kenalan saya mengadu mengenai masalah kesukaran memaham ilmu yang sedang dipelajarinya. Lalu saya bertanya kembali kepadanya:

"Ko dah baca doa belajar ke belum?..." Lalu dia pun menggeleng . Saya lalu jelaskan kepada dia: "Sebenarnya peranan doa belajar ni supaya kita faham apa yang sedang kita belajar. Kita belajar untuk apa? Kerana siapa? Tujuan kita belajar kerana siapa & untuk apa? ilmu ni siapa punya? Jadi, kepada siapa kita perlu harapkan untuk memberi pemahaman mengenainya?

jadi begitulah peranan doa kepada perkara- perkara lain. Dunia ini milik siapa?Takdir, qada & Qadar kita milik siapa?

Allah
Allah
Allah

Maka kegagalan memahami peranan doa dalam hidup ini akan menempangkan perjalanan hidup kita.

Manusia yang tidak Basmalah ketika melakukan sesuatu akan berakhir dengan kepincangan. Takut- takut seronok pula sampai culas melakukan dosa. Nauzubillah.


11 May 2014

Jenis- Jenis Manusia

Assalamualaikum/ Selamat Sejahtera,

Para pembaca sekalian, pada artikel kali ini saya memetik dari buku 101 short- cut ke syurga terbitan Utusan Karya. saya terbuka untuk memetik beberapa lembaran yang saya fikir sangat bersangkut paut dengan kita, sebagai seorang muslim. apakah jenis manusia kita ini?

Menurut Syeikh Abdul QadirAl- Jailani, beliau menggariskan terdapat 4 jenis manusia sepertimana disebutkan dalam beberapa hadith Rasulullah S.A.W

Golongan- golongan tersebut ialah:

- Manusia yang tidak mempunya lisan dan hati
- Manusia yang mempunyai lisan, tetapi tidak mempunyai hati
- Manusia yang mempunyai hati, tetapi tidak mempunyai lisan (iaitu tidak pandai berkata- kata), dan
- Manusia yang belajar, mengajar dan mengamalkan ilmunya

Apakah itu manusia yang tidak mempunya lisan dan hati?


Seperti apa yang disebut oleh Syeikh Abdul QadirAl- Jailani, mereka ini merupakan golongan yang bertaraf biasa, mempunyai otak yang tumpul, dan berjiwa kecil.

Adakah anda tergolong di dalam golongan ini? Fikirkanlah.

Sebagai muslim kita sepatutnya memberi manfaat kepada yang lain, menjadi teladan kepada yang lain, pembimbing ke jalan agama yang benar dan menyampaikan ilmu kepada orang lain. islam menuntut kita untuk menuntut ilmu & islam memandang tinggi mereka yang berilmu & berusaha memanfaatkan ilmu tersebut untuk kebaikan semua.


Seorang muslim tidak boleh bersifat lemah & malas menuntut ilmu, tidak kiralah ilmu itu dari cabang yang mana. Kita juga tidak harus terlalu memilih ilmu yang katanya mempunyai keserasian terhadap diri. Seelok- eloknya ilmu dituntut untuk pengetahuan.

Sebagai contoh, jika anda seorang yang bijak undang- undang atau bidang sastera, anda pula tidak berminat terhadap ilmu pertukangan. Jadi, amat merugikan bila anda tidak tahu mengendali kereta anda jika rosak.

Itu contoh ilmu dunia. Bagaimana ilmu agama dan psychology? Tidakkah anda lihat kaitannya dalam kehidupan anda? Orang yang tumpul ilmu kemanusiaan dan agama jalannya songsang. Dia mungkin akan berhadapan dengan masalah- masalah rohaniah, masalah jiwa. Tidakkah anda lihat berapa ramai mereka yang bermasalah perasaan disebabkan tumpul ilmu sebegini. Dia tidak tahu ke manakah harus dirujuk dan ke maknakah arah yang patut dilakukannya.


Jadi, apakah itu  manusia yang mempunyai lisan, tetapi tidak mempunyai hati?


 Manusia yang mempunyai lisan, tetapi tidak mempunyai hati ini merupakan mereka yang bijak berkata- kata tetapi tidak mengamalkan apa yang diperkatakan.

Mereka sering mengajak manusia menuju ke jalan Allah S.W.T. tetapi mereka sendiri lari daripadaNya. Mereka benci kepada maksia orang lain, tetapi mereka sendiri bergelumang dalam dosa dan maksiat.
Mereka menunjukkan bahawa diri mereka soleh, tetapi mereka hidup melakukan dosa besar.

Nabi bersabda, "yang paling aku takuti dan aku takut dalam kalangan umatku ialah orang alim yang jahat..."

Nauzubillah

Manusia yang mempunyai hati, tetapi tidak mempunyai lisan (iaitu tidak pandai berkata- kata)


Golongan ini merupakan golongan yang Allah lindungi hatinya dari kejahatan maksiat. Mereka merupakan orang yang suka berkhalwat (mengasingkan diri untuk bertafakur) dan tidak suka berkata- kata perkara yang tidak perlu.

Sabda Nabi S.A.W, "Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdir daripada 10 bahagian, 9 daripadanya terletak dalam diam..."

Sesungguhnya terpeliharalah segala pahala kebaikan dengan diam & dipelihara diri dari kejahatan dengan diam.

Manusia yang belajar, mengajar dan mengamalkan ilmunya


Golongan ini merupakan golongan yang berilmu dan warak. Mereka belajar dan mereka menyampaikan ilmu serta mengajak manusia yang lain kepada kebaikan. Mereka ialah orang yang perlu didekati kerana lisan mereka adalah benar.

Jadi, bermuhasabahlah kita. Di mana terletaknya kita di antara keempat- empat golongan ini. Moga kita dijauhkan dari sifat & sikap mazmuzah.

In sya Allah, berubahlah kepada yang lebih baik kerana orang yang bertaubat lebih dikasihi Allah. jangan tunggu tua kerana tua itu belum pasti, tapi ajal itu pasti entah tiada siapa yang tahu. Nak masuk syurga? orang yang masuk syurga semuanya baik- baik... :)

-razman-

10 May 2014

Masa Untuk Allah

Masa kerap berlalu. makin lama terasa setiap detik berlalu begitu pantas. dunia berputar tidak henti, segalanya terasa bagaikan angin yang bertiup sepui- sepui, melekakan kita seorang manusia.

Saya terfikir, untuk setiap detik dan nafas yang disedut- hembus, apakah ianya membuahkan harga yang lumayan? seperti bursa saham, masa dikatakan begitu sengit. Bila bursa dibuka, maka manusia- manusia ini berlumba membeli dan memperdagangkan saham mereka. namun, sikap materialistik ini begitu memenatkan. Adakah mereka merasa penat? Bekerja mengejar harta, setiap detik ketakutan tindakannya diselar bodoh, merugikan diri dan organisasi.

Tapi apakah dia juga terfikir adakah setiap tindakannya itu bodoh kerana melupakan Allah? Adakah dia juga lupa masa untuk Allah? 

Kita selalu gagal. Gagal meletakkan keutamaan agama di barisan hadapan, gagal meletakkan keyakinan bahawa Tuhan itu adalah segala- galanya dalam hidup kita.

Apakah kita merasa ketakutan? Atau ada sedikit rasa serba- salah terhadap pencipta kita yang Maha Agung kerana mensia- siakan amanahNya untuk beribadah dan menjadi khalifah di muka bumi ini? Adakah kita hanya menumpukan sebelah perhatian terhadap keinginan menjadi khalifah, menjadi manusia pujaan, merebut syurga dunia semata- mata? Aduhai, dunia dan syaitan berjaya menggagalkan peranan kita, menggoda kita dengan kecintaan nikmat dunia semata- mata.

Hinanya kita nanti. Harta dunia tidak membawa apa- apa manfaat di akhirat melainkan kita menggunakannya untuk jalan yang diredhainya.

Harta tetap harta. Namun bagaimana masa untuk Tuhan? Sedang manusia menuntut pasangannya untuk meluangkan masa untuk diri mereka, apatah lagi Allah Tuhan yang menciptakan kita? 

Tiada ke masa untuk mencintainya?
Tiada ke masa untuk menyebut-nyebut namanya, memuji-mujinya?
Tiada ke masa membaca kalamnya?
Tiada ke masa berjuang ke jalan kebaikan yang disukainya? 

Renungkanlah

-razman-

Hidup dan Komitmen

assalamualaikum/ salam sejahtera

para pembaca, setiap orang mempunyai prospektif berbeza mengenai hidupnya. saya teringat pada satu kata hikmah, "hidup ini adalah berbeza bergantung kepada bagaimana anda memandangnya..."

pernah tak anda rasa terkeliru dengan pandangan anda terhadap sesuatu perkara? adakah pernah orang memberitahu anda bahawa anda tersilap pandang?

jawapannya mesti ada.

setiap orang pasti akan ada tanggapan dan pandangan berbeza mengenai sesuatu perkara. namun, optimislah, komunikasi berkesan pasti akan membuahkan pertemuan titik persefahaman yang baik.

berkata mengenai tanggapan terhadap hidup, apakah kaitannya dengan komitmen?

kita sedia maklum bahawa setiap orang mempunyai corak kehidupan dan cara tindakan yang tersendiri. buktinya lihat sahajalah cap jari anda. adakah ia sama? tidak bukan?

dalam beberapa hari ini saya kerap termenung, memikirkan komitment dan pendapatan tidak selari. setiap orang akan melalui frasa kehidupan sebegini. kadang- kadang saya jadi takut, bagaimana mungkin untuk menghadapi semua ini? berat bahu yang memikulnya. saya melalui frasa murung dalam tempoh yang agak lama sebelum menemui jalan yang betul untuk meyakinkan diri bahawa everything will be OK.



saya terfikir sambil berdoa, Ya Allah, andai aku masih tidak mampu sebegini bagaimana harusnya aku bernikah? ha! soal nikah pula menusuk ke kalbu. seorang bujang pasti bercita- cita untuk menamatkan zaman bujangnya kerana desakan- desakan dari diri dan orang lain.

setiap hari saya membaca pelbagai nasihat dan pujukan dari orang- orang alim mengenai nikah. pada diri ini tertusuk satu tanggapan bahawa diri ini belum mampu & kembali bertanya kemampuan diri. oh susah juga menjadi lelaki ini ye? nasib baik la saya ni tidak pernah bercouple. rasanya desakan suruh kahwin dari perempuan itu sendiri tiada lagi, melainkan dari ibu dan bapa. aduhai~

saya teringat sebuah hadith, dan hadith ini berkali- kali disebut oleh ustaz ustazah yang maksudnya dengan bernikah pasti akan dikayakan oleh Allah. subhanallah, besarnya fadhilat bernikah ini.

saya pernah ada seorang rakan yang bernikah muda. habis je SPM terus bernikah. alhamdulillah. saya lihat hidup dia bagai mendapat barakah dan kebahagiaan melimpah ruah. *mustahil saya tak cemburu*

jadi, soal nikah sudah pun disebut. bagaimana pula komitment lain?

menjadi lumrah zaman kini setiap orang mempunyai komitment yang pelbagai. contohnya yang paling basic ialah kediaman, kenderaan, tanggungan, bil utilities dan sebagainya. pasti ramai juga yang pening kepala setiap kali sampai pertengahan bulan. tapi bila dah musim gaji, baki lepas ditolak komitment tinggal sejemput saja untuk diri sendiri. itu kalaulah untuk diri sendiri saja kan? kalau dah berkahwin lagi parah.

apakah penyelesaian untuk masalah ini? ada yang terus beri cadangan untuk berniaga. saya pernah baca twit dari Hairul Azreen. katanya:











Betul tak apa kata Hairul Azreen?

Namun untuk menambah pendapatan, ini bermakna anda perlu mengorban sebahagian yang lain dari masa anda. itulah yang dinamakan masa itu emas. untuk mendapatkan emas anda perlu mengobankan masa & perkara- perkara lain termasuk masa senggang, hobi, malah kebahagiaan anda sendiri.

hidup ini satu pilihan, di mana anda terpaksa membuat keputusan untuk setiap perkara dalam hidup anda. jika anda berkeinginan terhadap harta, anda perlu berusaha lebih, menggadaikan sejumlah wang sebagai modal dan masa anda sendiri.

anda tetap boleh memilih untuk berniaga, membuat pendapatan sambilan seperti menjual insurance, menjual product, double job dan sebagainya. semua ini hanyalah untuk memenuhi lompong kecil dari wallet anda sendiri.

kerja tetap kerja. kita bukan hamba duit. kita hanya hamba Allah yang biasa. Tugas sebenar kita ada dua. Menyembah Allah dan menjadi khalifah di muka bumi ini. kita tidak boleh culas dalam memakmurkan kedua- dua tanggungjawab ini. jika kita kerja semata- mata untuk dunia, kita akan dapat dunia. tapi jika kita tidak menjalankan tugas sebagai hambanya, adakah ia membawa makna?

jika anda hanya menumpukan pada hal dunia sahaja, dengan tinggal solat, hidup tak islamik dan sebagainya, tapi usaha anda untuk kaya berhasil, adakah anda cukup manusia? adakah misi hidup anda tercapai?

telah banyak Allah ajar kita tips berjaya dalam hidup. telah banyak Allah tegur sikap kita terhadap hal- hal hidup kita. adakah kita membaca Al- Quran, kalam Allah?

Allah tetap memberi pilihan kepada kita untuk membuat keputusan. Allah masih lagi membuka pintu kemaafan buat kita bila kita tersilap. buatlah apa sahaja yang kita mahu. tapi jangan sekali- kali berlaku zalim terhadap orang lain.

mudah sahaja kan?

kita banyak pening tentang hal dunia. tapi bila kita sujud dengan rasa kehambaan pada Allah, seolah- olah beban itu hilang dan kita rasa seperti sudah dibantu. jadi, apa lagi yang tidak cukup?

letakkanlah Allah dan Islam dalam setiap perbuatanmu, amalanmu, percakapanmu, sentuhanmu, pandanganmu, pendengaranmu... tiada yang lebih indah bila apa yang kita lakukan itu tepat di sisi Islam.

cubalah renungkannya.

walaupun saya letih dan berkali- kali jatuh ke dalam perigi buta, akhirnya Allah tetap akan membawa saya naik ke atas kembali dengan hikmahnya. alhamdulillah.

Sepatah- Dua Kata 10 May 2014

Assalamualaikum/ Selamat Sejahtera,

Isu perkahwinan belum habis kupas. harap maaf saya sibuk dan kekurangan idea untuk menulis. setelah beberapa bulan menyepi dalam dunia blog, saya banyak juga blogwalking dan membaca banyak isu- isu yang bukan sahaja mengenai dunia perkahwinan, tetapi dalam skop- skop yang berbeza. in sya Allah, doakan saya tidak kekeringan idea dan aktif kembali.

alhamdulillah, ramai kawan- kawan saya telah bernikah. sama ada yang sebaya atau senior. subhanallah, tipulah saya tak cemburu mereka dan setapak menyempurnakan tuntutan agama.

in sya Allah, jika kita menginginkan kebaikan, pasti akan hadirnya jalan.

bersabarlah, jika kamu masih belum bertemu jalan ke arahnya.

-razman-

1 December 2013

#Tips Cara Hilangkan Bau Najis Haiwan

Assalamualaikum, 

Saya pasti ramai yang runsing mengenai bau hancing pada cadar, kusyen dan fabrik, lebih- lebih lagi yang gemar membela haiwan peliharaan atau pet. Perkara seperti ini selalu terjadi dan menjadi dilema ramai orang bagaimana untuk menyucikan kembali fabrik yang sudah terkena najis haiwan.



Agaknya bagaimana ya untuk menghilangkan bau- bauan tidak menyenangkan memandangkan antara syarat wajib untuk sucikan najis adalah menghilangkan warna, bau dan rasanya. hmm~ payah ni. Sudah dibasuh tidak juga hilang! Sudah disembur Febrize pun tak menjadi. jemur berkali- kali, AHH!!! Tak jadi juga... Bagaimana ni???

Alhamdulillah, pagi tadi seorang rakan saya di Universiti telah berkongsi tips yang dirasakan boleh menjadi. Jadi, sila print, print screen artikel ini atau catatkan di buku conteng anda!

Pertama, sila sediakan dan ikut tertib/ langkah ini:

 2 sudu besar soda bikarbonat > 2 sudu besar cuka masakan > 1 sudu besar sabun cecair basuh pinggan > 350 ml air suam

Campurkan semua bahan di atas ke dalam bekas foam dispencer, goncang sehingga bahan tadi bertukar menjadi buih kemudian foamkan (buih) ke atas tempat yang terkena kencing. Biarkan 2 hingga 4 minit kemudian gosok dengan span atau kain. Setelah hilang bau barulah bersuci.

hasilnya seperti ini

Kedua, pastikan anda membilas/ mengelap kembali tempat yang terkena najis tersebut dengan kain basah yang suci dari kotoran, dengan air suci.

Ketiga, pastikan ia suci dalam tiga keadaan iaitu bau, warna dan rasa. Sila juga pastikan anda mengeringkan kawasan tersebut.

SELAMAT MENCUBA!!!


Sekian, Terima Kasih.


kredit: Rosli Ahmad & Sarahana Mohd.